KUALA LUMPUR: KTM Berhad mempunyai baki 22,597 tiket pelbagai kelas untuk kesemua sektor perjalanan bagi penumpang yang hendak pulang ke kampung untuk berhari raya. KTMB dalam satu kenyataan hari ini berkata ia telah menyediakan sebanyak 52,466 tiket bagi perjalanan antara 24 dan 30 September ini, dan sebanyak 29,869 tiket daripadanya telah habis dijual. “Tiket untuk perjalanan pulang ke Utara, Pantai Timur dan Selatan hampir kehabisan manakala tiket untuk perjalanan dari Utara, Pantai Timur dan Selatan menuju ke Kuala Lumpur atau Singapura masih banyak,” kata kenyataan itu.
Tiket yang habis untuk perjalanan sebelum Hari Raya ialah bagi Ekspres Rakyat Singapura-Butterworth pada 26 September dan 27 September, Ekspres Sinaran Kuala Lumpur-Butterworth (26-29 September) dan Ekspres Langkawi Kuala Lumpur-Padang Besar (25-30 September). Ekspres Timuran Singapura-Tumpat pula telah kehabisan tiket untuk 24-30 September, Ekspres Wau Kuala Lumpur-Tumpat (24-30 September), Ekspres Gading Mas Kuala Lumpur-Tumpat (25-30), Ekspres Lambaian Timur Singapura-Gemas (26-29 September) dan Ekspres Senandung Semalam Ipoh-Singapura (26 September).
“Bagi perjalanan selepas Hari Raya iaitu dari 1 hingga 7 Oktober, kami menyediakan 50,736 tiket pelbagai kelas untuk kesemua perjalanan dan 21,416 daripadanya telah habis dijual,” katanya.
Terdapat beberapa tren telah kehabisan tiket untuk perjalanan selepas Hari Raya antaranya Ekspres Rakyat Butterworth-Singapura (kehabisan tiket untuk 5 Oktober), Ekspres Sinaran Butterworth-Kuala Lumpur (4-5 Oktober), Ekspres Langkawi Padang Besar-Kuala Lumpur (4-6 Oktober), Ekspres Timuran Tumpat-Singapura (3-7 Oktober), Ekspres Wau Tumpat-Kuala Lumpur (3-7 Oktober), Ekspres Gading Mas Tumpat-Kuala Lumpur (4-6 Oktober) dan Ekspres Lambaian Timur Gemas-Singapura (4-5 Oktober).
Tiket-tiket tambahan akan dikeluarkan dari semasa ke semasa dan penumpang dinasihatkan agar tidak menunggu sehingga saat-saat akhir untuk mendapatkan tiket. Penumpang boleh membeli tiket di kaunter-kaunter KTM Antarabandar seluruh negara, membuat tempahan melalui Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 dari 7 pagi hingga 10 malam atau membeli tiket secara online di www.ktmb.com.my. - Bernama
Teringat zaman2 belajo kat Segamat dulu. Asal cuti panjang terutamanya Cuti Raya mesti berebut beli tiket. Aku selalu pilih balik naik keretapi, sebab luas dan boleh 'lepak-lepak' dengan kawan-kawan aku. Kalau naik bas, faham-faham je la. Dengan 'seat' yang terhad, yang nak balik pun ramai. Lagi la berebut. Bila tiket habis, mulala ramai balik naik bas 'sangkut-sangkut' Dari Segamat pegi Melaka, dari Melaka cuba cari tiket ke KL, kalau tak dapat cuba ke Seremban. Kemudian dari Seremban naik KTM Komuter. Selagi tak jejak kaki kat kampung selagi tu lah perjuangan tak selesai lagi. Ermmm, seronok zaman-zaman belajar dulu. Kalaulah masa boleh diundur.............