KAMPAR - Anggota Bomba dan Penyelamat hari ini meneruskan tugasan mengawal kebakaran hutan di Gunung Tempurung berhampiran Kampung Sungai Siput Selatan di sini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Yahaya Madis berkata anggotanya menggunakan empat 'Fix Monitor Nozzle' untuk mengawal kebakaran yang mungkin merebak sehingga ke pinggir gunung tersebut disebabkan serpihan bara api.

"Ini kerana faktor cuaca kering dan berangin menyebabkan kebakaran mudah merebak dalam kelompok kecil di kawasan bersebelahan. Kita mengesan terdapat dua kelompok kebakaran berlaku di Gunung Tempurung ini dengan jarak antara 150 meter dan 300 meter dari kaki gunung," katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi pemantauan dan pemadaman kebakaran di kawasan tersebut hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun, anggotanya mengawal dan memantau di bahagian kaki gunung untuk mengelak berlakunya tompokan kebakaran di bahagian pinggir gunung.

Unit Udara Bomba mengenal pasti bahawa kaedah 'bumby bucket' dilihat kurang sesuai digunakan untuk memadam kebakaran, katanya.

"Agak sukar untuk menggunakan helikopter dengan membawa 'bumby bucket' selain faktor geografi kerana khuatir semburan air dari helikopter menjejaskan penduduk berhampiran," katanya.

Yahaya berkata 24 anggota bertugas secara bergilir-gilir bagi memantau pergerakan api walaupun gunung tersebut jauh dari kawasan penempatan serta kawasan pelancongan Gua Tempurung.

"Gua Tempurung terletak lebih satu kilometer dari lokasi kejadian dan tidak membahayakan pelancong yang mengunjungi pusat pelancongan di daerah Kampar ini," katanya.

Jumaat lepas, lebih 1.6 hektar hutan Gunung Tempurung terbakar dipercayai selepas sebatang pokok dipanah petir dalam kejadian kira-kira jam 7.49 malam.

Operasi pemadaman tidak dapat dijalankan berikutan struktur bukit batu kapur itu tidak stabil dan sangat curam selain terdapat runtuhan batu-batu kapur yang panas akibat kesan kebakaran itu.

Anggota Bomba dan Penyelamat Kampar membuat khemah operasi di kawasan berkenaan sehingga hari ini untuk menjalankan pemantauan kebakaran secara berterusan. - Bernama

Dipetik dari Sinar Harian Online 19 Februari 2014